Jumaat, 15 Oktober 2010

Dakwaan BN tidak tunai janji di Manek Urai hanya fitnah

GUA MUSANG 14 Okt. - Dakwaan pemimpin Pas bahawa Barisan Nasional (BN) belum menunaikan janji-janji yang dibuat semasa Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai yang lalu hanya satu fitnah.
Menurut bekas calon BN yang bertanding bagi kawasan tersebut, Tuan Aziz Tuan Mat, 40, semua janji yang diberikan semasa kempen itu telah pun ditunaikan, malah pelbagai lagi bantuan akan menyusul.
"Saya mahu mereka beritahu apa lagi yang kita tidak tunaikan. Walaupun saya kalah tetapi semua janji-janji itu telah pun dilaksanakan untuk manfaat rakyat di situ.
"Sebab itulah saya menyeru pengundi di Galas agar tidak tertipu dengan kata-kata pemimpin Pas ini yang hanya fitnah semata-mata," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Pada kempen pilihan raya kecil itu 14 Julai tahun lalu, Kerajaan Pusat telah berjanji untuk membawa pembangunan infrastruktur di kawasan berkenaan antaranya pembinaan jambatan di Kampung Manek Urai Lama membabitkan kos RM10 juta, menaik taraf Masjid Temalir bernilai RM600,000, membaik pulih rumah (RM1.5 juta) dan membina gelanggang sukan di Kampung Manjor (RM300,000).
Tuan Aziz berkata, walaupun hanya pembinaan jambatan itu yang masih belum ditunaikan kerana beberapa masalah yang timbul, pemimpin Pas tidak melepaskan peluang apabila menjadikannya sebagai isu utama mereka untuk berkempen di Galas.
Beliau yang juga penyelaras DUN Guchil berkata, beberapa masalah pemilikan tanah adalah punca kelewatan pembinaan jambatan itu, namun ia akan tetap diteruskan meskipun kosnya dikatakan telah meningkat sehingga RM17 juta.
"Masjid Temalir sudah hampir siap. Proses pemilikan tanah di Kampung Manjor sudah siap dan tidak lama lagi gelanggang sukan akan dibina.
"Di seluruh Manek Urai lebih 500 buah rumah penduduk miskin telah diganti dan dinaik taraf, jadi apa lagi yang Pas nak cakap," tegas beliau.
Sehubungan itu, beliau meminta lebih 11,000 pengundi di DUN Galas dapat membuat keputusan terbaik ketika hari pengundian nanti supaya memilih wakil rakyat yang benar-benar mampu membangunkan kawasan mereka

Tiada ulasan:

Catat Ulasan